LAPORAN BAHAN BANTU MENGAJAR




BMK3033 KETRAMPILAN MEMBACA


TUGASAN BERKUMPULAN

DISEDIAKAN OLEH
NAMA
NO. MATRIK
MOHD AMIRNUDIN BIN MAT SEMAN
D20151071755
NIK MOHD NAZIR BIN NAZLAN
D20151071262
RAHAYU BINTI CHE MAT NOOR
D20151071284
ELIA NAJIHAN BINTI MOHD SALLEH
D20151071043
SAZRINA BINTI SAIFII
D20151071823
NUR ADILLA BINTI SAIDI
D20151070457

KUMPULAN: A

NAMA PENSYARAH: PROFESOR MADYA DR. DAHLIA BINTI JANAN

TARIKH SERAH: 5/5/2017


1.0       PENGENALAN

Pengajaran memerlukan sesuatu untuk menjadikan ia mudah disampaikan.Manakala pembelajaran pula memerlukan rangsangan untuk memudahkan pelajar menerima isi pelajaran.Rangsangan yang sukar ditanggapi tidak akan dapat diproses dan tidak akan menjadi pengalaman.Oleh yang demikian, kecerdasan walau bagaimana baik mana pun, jika ia kurang mendapat rangsangan, ianya tidak akan menghasilkan perkembangan kecerdasan dan pengalaman yang berkean.
Berdasarkan hakikat inilah, peranan guru dalam menentukan alat-alat bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran adalah sangat penting.Ini adalah kerana alat-alat itu merupakan media yang mampu mewujudkan rangsangan dan kemudiannya akan bertindak memperkembangkan kecerdasan dan pengalaman.Dari itu, guru-guru ataupun bakal-bakal guru disarankan supaya dapat menyusun dan merancang aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran mereka dengan baik, terutamanya dari segi pemilihan, penyesuaian dan penggunaan bahan-bahan bantu pengajaran, kerana inilah di antara aspek yang memberi kesan terhadap prestasi para pelajar.Di samping itu, alat bantu mengajar atau bahan bantu mengajar (BBM) juga dapat memainkan peranan ke arah peneguhan dan pemahaman pelajar.

2.0       DEFINISI BAHAN BANTU MENGAJAR

Bahan bantu mengajar (BBM) merupakan segala kelengkapan yang digunakan oleh guru atau murid untuk membantunya dalam menyampaikan pengajaran di bilik darjah (Brown J.W, 1983). Bahan bantu mengajar bukan sahaja terhad kepada buku teks, papan tulis, kapur, dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan semua pancaindera dan apa sahaja yang dapat dialami oleh para pelajar. Menurut Atan Long (1982), alat bantu mengajar terdiri daripada pelbagai bahan. Bahan ini diterbitkan dalam bentuk buku, carta, atau slaid yang ditayangkan pada layar. Bukan itu sahaja, beliau turut membahagikan alat bantu mengajar kepada tiga kumpulan iaitu alat pendengaran, alat pandangan dan alat pandang-dengar.
Seterusnya, alat bantu mengajar juga dapat ditakrifkan sebagai audio visual dan bahan-bahan yang berkaitan dengannya yang berfungsi dalam perlaksanaan sesuatu pengajaran yang mana juga dikenali sebagai sebahagian daripada media pengajaran (Heinich e.t.al, 2002). Selain itu, Hanapiah Sudin (1979) dan Khairiah Ahmad (1980) mengelaskan alat bantu mengajar kepada dua iaitu software dan hardware. Bukan itu sahaja, alat bantu mengajar boleh dibahagikan kepada dua iaitu media elektronik dan media bukan elektronik (Noraziah Abdul Hamid, 1981). Berikutnya, Thomas, R.Murray, Swartout, Sherwin G (1963) pula menyatakan bahawa hanya alat bantu mengajar yang mempunyai komunikatif tinggi yang mampu membantu pelajar memperolehi pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah, sikap sosial, kemantapan emosi serta daya pendengaran.
Manakala Ngui Kuen Sang menyatakan bahawa takrifan mengenai alat bantu mengajar tidak dapat diberikan secara tetap walaupun pada keseluruhannya ramai pendidik yang bersependapat bahawa penggunaan alat bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan pengalaman yang melibatkan penggunaan penglihatan dan pendengaran seseorang. Akhirnya, berdasarkan takrifan bahan bantu mengajar tersebut, dapat disimpulkan bahawa segala bentuk simbol dan komunikasi verbal yang abstrak dapat diperjelaskan dengan menggunakan alat bantu mengajar. Hal ini akan memudahkan pelajar memahami isi kandungan sesuatu pelajaran yang disampaikan. Malahan, penggunaan pelbagai media pengajaran secara tepat dapat mengatasi sikap pasif dalam kalangan pelajar kerana ia akan menarik minat pelajar, menimbulkan suasana yang lebih menarik kepada mereka serta meningkatkan interaksi dan kefahaman pelajar tentang topik yang diajar.

2.1       TEKNIK PENGAJARAN

Menurut Kamus Dewan (edisi keempat), teknik adalah kaedah mencipta sesuatu hasil seni seperti muzik, karang-mengarang dan sebagainya. Menurut Edward M. Anthony mendefinisikan teknik adalah satu strategi atau taktik yang digunakan oleh guru yang mencapai hasil segera yang maksimum pada waktu mengajar sesuatu bahagian bahasa tertentu. Menurut Kamaruddin Hj. Husin & Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dalam bukunya Pengajian Melayu III : Komunikasi Bahasa, teknik boleh didefinisikan sebagai pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku di dalam bilik darjah di mana ia digunakan untuk mencapai sesuatu objektif.
Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk murid-muridnya. Teknik yang dipilih haruslah sejajar dengan kaedah yang digunakan dan seirama dengan pendekatan yang dipilih. Tujuan sesuatu teknik yang guru aplikasikan di dalam bilik darjah ialah untuk menarik minat murid, mengekalkan perhatian, serta membangkitkan rasa ingin tahu murid akan sesuatu tajuk atau isi pelajaran yang akan dan sedang dilaksanakan. Pemilihan teknik haruslah berasaskan kepada kriteria tertentu seperti gaya pembelajaran murid, tajuk pengajaran, jenis pengetahuan atau kemahiran yang hendak disampaikan, tahap pencapaian murid, persekitaran pembelajaran, nilai dan sikap yang ingin dipupuk. Antara teknik yang boleh dilaksanakan ialah teknik membaca secara kritikal, teknik KWL, teknik preview teks dan sebagainya. Dengan itu, teknik yang telah dipilih dalam kajian ini alah teknik hubungan soal – jawab.


2.2       DEFINISI TEKNIK HUBUNGAN SOAL – JAWAB

Hubungan Soal Jawab atau Question Answer Relationships (QAR), telah diperkenalkan oleh Raphael pada tahun 1982. Teknik hubungan soal - jawab ialah satu prosedur untuk meningkatkan keupayaan pelajar untuk menjawab soalan pemahaman dengan memberikan mereka makna-makna secara bersistematik yang membolehkan mereka memahami kehendak soalan-soalan yang berlainan. Hubungan soal jawab dijadikan sebagai salah satu cara untuk meningkatkan keupayaan pelajar untuk menjawab soalan-soalan kefahaman. Pelajar akan belajar secara sistematik untuk menganalisis bentuk soalan yang berbeza.
QAR dibangunkan bagi membantu pelajar untuk belajar cara untuk menjawab soalan-soalan berdasarkan apa sebenarnya yang terdapat dalam teks serta menggunakan pengetahuan latar belakang mereka sendiri. Rutin QAR jelas boleh menunjukkan hubungan antara soalan dan jawapan. Taffy Raphael menyatakan bahawa hubungan soal - jawab dibangunkan untuk menjelaskan langkah-langkah untuk pelajar menggunakan pendekatan tugas membaca teks dan menjawab soalan. Hal ini akan membantu mereka menyedari tentang keperluan untuk mempertimbangkan kedua-dua maklumat dalam teks dan maklumat dari pengetahuan latar belakang mereka sendiri. Oleh itu, rasional menggunakan strategi hubungan soal jawab ini ialah:

1. Menunjukkan hubungan antara soalan dan jawapan.
2. Mengkategorikan pelbagai jenis soalan dan tahap soalan.
3. Membantu pelajar untuk menganalisis, memahami dan bertindak balas terhadap konsep teks.
4. Membantu menyangkal tanggapan biasa yang diadakan oleh pelajar - pelajar bahawa teks mempunyai semua jawapan.


2.3       LANGKAH - LANGKAH TEKNIK HUBUNGAN SOAL – JAWAB

Sistem ini adalah berdasarkan Taksonomi yang dicadangkan oleh Pearson dan Johnson (1978) yang menyebut tentang tindak balas kefahaman. QAR juga boleh digunakan dengan laman web dan format media. Sistem ini dicipta supaya pelajar dapat mengenal pasti empat jenis soalan iaitu:

1.      Di situ QARs
Peringkat ini pelajar dapat melihat jawapan berada dalam teks. Keadaan ini selalunya dijumpai apabila jawapan dan soalan berada dalam satu ayat yang sama. Contohnya, dalam puisi-puisi yang mana adanya soalan dan jawapan yang tertentu dalam satu rangkap puisi.

2.      Fikir dan Cari QARs
Peringkat ini jawapan tiada di dalam teks oleh yang demikian pelajar perlu menggabungkan bahagian-bahagian dalam teks untuk mencari jawapannya. Keadaan ini dijumpai apabila jawapan dan soalan tidak berada dalam satu ayat yang sama.

3.      Saya dan Pengarang QARs
Peringkat ini pelajar sedar jawapan tiada dalam teks dan mereka perlu fikir apa yang mereka tahu dan apay ang pengarang teks kemukakan dan cara untuk mengabungkan semua ini untuk mencari jawapan.

4.      Saya Secara Sendirian QARs
Peringkat ini melibatkan pelajar diperkenalkan cara untuk bertanya sebelum memulakan pembacaan.Peringkat ini dikenali sebagai  Saya Secara Sendirian QARs. Peringkat ini bertujuan untuk mengakses pengetahuan sedia ada pelajar berkaitan bahan yang dibaca. Dalam membina soalan yang ditanya semasa membaca adalah penting untuk mengimbangi soalan-soalan berasaskan teks dan soalan-soalan untuk membuat inferens tentang teks.

2.4       CARA PENGAJARAN TEKNIK HUBUNGAN SOAL – JAWAB

Guru memperkenalkan pelajar kepada kehendak tugasan yang mempunyai soalan berbeza dan menyediakan amalan awal untuk mengenal pasti permintaan soalan untuk jawapan. Raphael telah mengesyorkan supaya guru membincangkan perbezaan antara teks dan pengetahuan sendiri. Tiga peringkat teknik ini boleh digunakan untuk petikan yang ringkas.

1.      Pelajar diberi peluang untuk membaca petikan dengan memberikan soalan berserta jawapan yang mereka jumpa. Setiap soalan mesti mempunyai hubungan soal jawab. Kemudian pelajar diminta untuk membincang jenis soalan dan jawapan yang dibina.

2.      Pelajar diberi peluang untuk menjawab soalan-soalan dengan menggunakan petikan tersebut dan mereka perlu membina satu kumpulan hubungan soal jawab bagi setiap soalan.

3.      Pelajar menentukan hubungan soal jawab dengan bertindak balas kepada jawapan

2.5   BAGAIMANA MENGGUNAKAN BAHAN BANTU MENGAJAR BAGI TEKNIK HUBUNGAN SOAL – JAWAB (RODA IMPIANKU)

1.      Guru membahagikan para pelajar kepada beberapa kumpulan kecil bagi memulakan permainan. Kumpulan yang berjaya mengumpul markah tertinggi akan memenangi pusingan tersebut. Tempoh masa permainan adalah selama 40 minit atau satu jam.

2.      Pelajar perlu memutar roda tersebut bagi mengumpul mata dan menjawab soalan. Antara elemen yang terdapat pada roda impian tersebut ialah “hilang giliran”, “undur”, “muflis”, “selesaikan”, “hadiah misteri” dan nilai – nilai wang.

3.      Pelajar perlu menjawab soalan yang dikemukan oleh guru mengikut kategori yang mereka dapat selepas memutar roda tersebut
4.      Pelajar harus  menggunakan empat jenis teknik soalan dan jawapan seperti (Hak Ada, Berfikir dan Mencari, Pengarang dan Anda, dan Pada saya sendiri ) untuk mengenal pasti hubungan soal jawab dalam teks tersebut.

5.      Pelajar perlu membaca teks yang dikemukakan oleh guru dan menjawab soalan yang dibina setelah selesai membaca. Pelajar perlu bekerjasama dengan rakan-rakan untuk menentukan hubungan soal-jawab soalan dan nyatakan mengapa jawapannya sesuai dijawab mengikut kategori tersebut.


3.0       JENIS BAHAN BANTU MENGAJAR

Bahan bantu mengajar boleh secara umunya boleh dibahagikan kepada tiga kategori yang terdiri daripada pelbagai jenis iaitu :
- BBM bukan elektronik
- BBM elektronik
- Bahan-bahan bercorak pengalaman dan bahan sebenar

Bahan Bantu Mengajar Bukan Elektronik
1. Papan tulis atau papan hitam
2. Buku teks
3. Papan pamer
4. Fail tegak dan bahan bacaan
5. Gambar
6. Kad imbasan atau kad cantuman
7. Carta
8. Grafik
9. Papan Pengajaran
10. Boneka
11. Model


Bahan bantu mengajar Roda Impian termasuk di dalam jenis BBM bukan elektronik iaitu dalam kategori Model.Ciri-ciri BBM dalam kategori Model adalah merupakan bahan gantian yang menyerupai bahan sebenar dan bahan tiga dimensi yang mewakili struktur, rupa bentuk atau bagaimana sesuatu itu berfungsi.Jenis model pula adalah model berskala-kadar pembesaran/pengecilan yang berbeza daripada bahan sebenar, model potongan atau keratan, model olok-olok atau gambaran tiga dimensi perjalanan sesuatu.BBM kategori ini boleh diperbuat daripada kertas, tanah liat, simen, habuk kayu, styrofoam atau plaster of Paris.BBM Roda Impian iaitu bahan berbentuk seperti roda adalah bahan gantian yang menyerupai bahan sebenar dan mempunyai struktur dan rupa bentuknya yang tersendiri.Bahan bantu mengajar Roda Impian ini berfungsi apabila ianya diputarkan.

Bahan Bantu Mengajar Berbentuk Elektronik
1. Overhead Projektor (OHP)
2. Trasparensi
3. Pita slaid (filem slaid)
4. Radio
5. Televisyen dan VCR
6. Filem tayangan
7. Komputer


4.0       KEBAIKAN BAHAN BANTU MENGAJAR
Bahan bantuan yang bersesuaian dan menepati kandungan pengajaran dan pembelajaran dapat memberikan impak yang positif terhadap golongan sasaran. Golongan sasaran dalam konteks ini adalah para pelajar sekolah. Seterusnya, teknik penggunaan bahan bantuan mengajar yang berkesan juga dapat memberi manfaat terhadap pendidik atau tenaga pengajar. Menurut Amir Hasan (2002), dalam sebuah bilik darjah, setiap individu mempunyai psikologi dan kebolehan intelek yang berbeza antara satu sama lain. Lantaran itu pengajaran yang dirancang perlu sesuai, disusun (mengikut tahap pelajar) dan disokong (dengan alat bantu mengajar) bagi meransang perkembangan potensi individu ke tahap yang maksimum. Lantaran itu guru-guru haruslah bijak dan kreatif dalam pengajarannya dengan memperbanyakkan penggunaan ABM dalam pengajaran mereka. ABM adalah penting dalam pengajaran dan pendidikan kerana ianya dapat meransang minat yang tinggi kepada pelajar untuk belajar. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa pengguna bahan bantuan mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran memberi kebaikan kepada setiap golongan yang terlibat terutamannya pendidik dan pelajar. Antara kebaikan bahan bantuan mengajar kepada para pelajar ialah:

a)         Ingatan Pelajar Terhadap Sesuatu Topik Atau Teks Akan Lebih Kekal
            Teknik penggunaan bahan bantuan mengajar akan membantu para pelajar untuk terus memberikan tumpuan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Hal ini demikian kerana teknik ini memerlukan penglibatan aktif daripada para pelajar secara individu mahupun berkumpulan. Tumpuan yang diberikan sepenuhnya oleh para pelajar akan membantu pelajar itu sendiri untuk mengingat setiap maklumat-maklumat penting yang disampaikan oleh pengajar. Penyataan ini dengan sokong Kamarudin Husin (1998) yang menyatakan bahawa penggunaan bahan bantu mengajar oleh guru akan melibatkan lebih banyak deria pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dengan ini ingatan pelajar akan menjadi lebih tekal dan kekal.

b)         Memudahkan Para Pelajar Untuk Lebih Memahami Sesuatu Topik
            Penggunaan bahan bantuan mengajar yang fleksibel membolehkan para pelajar memhami sesuatu topik yang diajar dengan lebih mendalam dalam masa yang singkat. Bahan bantuan mengajar juga membantu para pelajar memahami sesuatu topik disamping meningkatkan daya pengetahuan para pelajar. Menurut Atan Long (1982) menjelaskan bahawa semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku, teknik dan kaedahnya mestilah mempunyai aktiviti-aktiviti yang meransang murid, minat serta kecenderungan terhadap bahan bantu mengajar yang disediakan. Penglibatan murid seratus peratus di dalam aktiviti-aktiviti semasa proses pengajaran dan pembelajaran membantu pelajar memahami isi pelajaran dengan lebih baik dan pelajar merasa lebih yakin untuk menghadapi pengajaran. 
Antara kebaikan bahan bantuan kepada pengajar pula ialah:

a)         Bahan Bantu Mengajar Menawarkan Pengalaman Yang Sebenar Dan Menjadikan Pengajaran Lebih Menarik Serta Pembelajaran Yang Diperoleh Lebih Bermakna.
            Penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja memberikan kebaikan dalam aspek pendidikan sahaja malah membantu interaksi antara pengajar dan pelajar. Interaksi dua hala yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran membantu guru untuk memahami minat dan teknik tertentu yang boleh digunakan oleh pengajar untuk menarik lebih minat pelajar terutamanya dalam sistem pendidikan. Hubungan pengajar dengan pelajar juga akan menjadi lebih akrab kerana komonikasi dua hala yang berlaku. Para pelajar akan lebih memberikan kerjasama sekiranya seseorang pengajar lebih bijak mengambil hati mereka. Penyataan ini turut disokong Amir Hasan (2002) yang menyatakan bahawa guru adalah antara faktor yang mendorong minat pelajar untuk terlibat secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
b)         Membantu Pengajar Atau Pendidik Untuk Menyampaikan Pengajaran Dan Pembelajaran Secara Berkesan
            Bahan bantu mengajar membantu pengajar atau pendidik untuk menyampaikan sesuatu topik pembelajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan dan lancar. Kamarudin Husin (1998) turut menyatakan bahawa penggunaan bahan bantu mengajar yang baik dan bersesuaian dengan tajuk dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih sistematik, lancar dan berkesan. Namun demikian, pengajar atau pendidik perlulah mengetahui tahap minat pelajar supaya bahan bantu mengajar supaya bahan bantu mengajar bersesuaian dengan pelajar dan pelajaran. Secara tidak langsung, hal ini dapat menarik minat pelajar yang lemah untuk lebih memberikan tumpuan dan pemahaman. Kesan peenggunan bahan bantu mengajar yang bersesuaian juga akan menyebabkan pengajar dapat menyampaikan sesuatu konsep dengan lebih jelas. Setiap pengajar atau guru juga tidak perlu menjelaskan dengan lebih teliti sekiranya para pelajar dapat bekerjasama sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.
           
            Oleh itu, berdasarkan kelebihan-kelebihan tersebut, pengkaji telah memilih untuk membuat dan menggunakan bahan bantu mengajar yang berbentuk roda yang kemudiannya diberi nama “Roda Impian”. BBM Roda Impian dihasilkan bertujuan sebagai bahan bantu mengajar yang mampu menarik minat pelajar terhadap aktiviti pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana sesi pembelajaran dan pengajaran yang sedang berlangsung adalah tidak membosankan dan memerlukan penglibatan aktif para pelajar di dalam kelas.  Roda Impian ini juga sesuai digunakan sebagai bahan bantu mengajar kerana fungsinya yang menarik dan mempelbagaikan lagi corak pengajaran guru di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
            Berikutnya, BBM Roda Impian ini memfokuskan kepada satu teks dari pelbagai topik yang mana pada roda tersebut pula terdapat pelbagai kategori. Kemudian, pelajar akan membentuk kumpulan dan salah seorang akan diarahkan untuk memusingkan roda tersebut dan menjawab soalan. Sebagai contoh, kategori yang terdapat pada roda iaitu kategori Di situ QARs. Pada kategori ini pelajar dapat melihat jawapan berada dalam teks dan selalunya dijumpai apabila jawapan dan soalan berada dalam satu ayat yang sama. Kategori ini turut memerlukan kumpulan pelajar tersebut untuk menjawab soalan yang mudah sahaja. Hal ini memerlukan kemahiran para pelajar dalam membaca dan menjawab soalan daripada teks.
            Selain itu, kebaikan BBM Roda Impian ini juga adalah melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif. Hal ini kerana, setelah pelajar memutarkan roda dan terkena pada kategori Saya dan Pengarang QARs, pelajar tersebut dan ahli kumpulannya perlu fikir apa yang mereka tahu dan apa yang pengarang teks kemukakan dan cara untuk mengabungkan semua ini untuk mencari jawapan. Hal ini demikian kerana, pada kategori ini memerlukan para pelajar berfikir kerana jawapan tiada dalam teks. Hal ini jelas melahirkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif kerana dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh guru, pelajar tersebut harus berfikir dengan cepat dan dalam pada masa yang sama berfikiran kritis.
Kelebihan lain BBM Roda Impian ini ialah kos bagi membuat BBM ini adalah murah. Hal ini kerana, bahan yang diperlukan adalah mudah didapati serta tidak mahal. Antara bahan yang diperlukan ialah gabus, kertas warna, soletep, reben, double tape, gam, marker pen, kadbod dan batang ais krim. Bahan-bahan tersebut mudah didapati serta harganya yang tidak terlalu mahal menjadikan BBM ini sesuai dan efisien sekiranya digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di kelas. Bukan itu sahaja, Roda Impian ini juga tahan lasak dan tidak mudah rosak. Hal ini kerana, BBM ini diperbuat daripada bahan yang tahan lama dan tidak mudah rosak seperti gabus. Selain itu, BBM ini juga ringan dan memudahkan guru untuk membawanya ke kelas di samping saiznya yang tidak terlalu besar.
Oleh itu, berdasarkan pernyataan di atas, jelaslah bahawa BBM Roda Impian ini mempunyai beberapa kelebihan tersendiri dan sesuai sekiranya digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran di kelas.

5.0       KELEMAHAN BAHAN BANTU MENGAJAR

Bahan bantu mengajar sememangnya banyak digunakan oleh para guru di sekolah. Hal ini kerana alat bantu mengajar memberikan impak yang positif dan sangat berkesan dalam membantu para pelajar untuk lebih memahami apa yang di ajar oleh guru ketika sesi pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu, terdapat juga beberapa kelemahan pada setiap BBM. Dalam kajian ini, pengkaji mendapati BBM Roda Impian turut mempunyai kelemahannya yang tersendiri.
Antara kelemahannya ialah para pelajar akan mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan jawapan yang terdapat dalam teks berkenaan. Hal ini kerana kami telah memberikan teks perkataan dan pelajar perlu memusingkan Roda Impian untuk mencari jawapan tersebut dalam teks tersebut. Setelah berhasil membaca teks, pelajar perlu mencari jawapan yang berkaitan dengan teks yang telah diperoleh daripada Roda Impian. Oleh itu, pelajar akan mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan soalan tersebut.
Kelemahan yang berikutnya ialah sukar untuk memadankan jawapan yang ada dalam teks. Jawapan pada Roda Impian tersebut telah dipisahkan dan dibezakan warna pada setiap jawapan. Oleh itu, pelajar perlu memusingkan roda tersebut sehingga menjumpai jawapan yang sama di dalam teks. Sekiranya pelajar masih belum menjumpai jawapan yang sepadan maka pelajar terpaksa memusingkan roda tersebut. Pelajar juga akan cepat berputus asa dan akan mulai bosan untuk menyelesaikan permainan tersebut. 


6.0       MENGAPA BAHAN BANTU MENGAJAR DIPERLUKAN

Bahan bantu mengajar (BBM) adalah diperlukan untuk memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran.Seseorang guru yang berpengetahuan luas pastinya akan menggunakan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka jika mereka menyedari tentang banyaknya kebaikan yang diperolehi daripada penggunaan bahan bantu mengajar.Terdapat banyak kepentingan bahan bantu mengajar.BBM yang digunakan oleh guru pastinya akan memberikan satu imej yang mendalam kepada para pelajar.
Pelajar akan dapat mengingati tentang sesuatu pengajaran itu dalam jangka masa waktu yang lama kerana alat bahan bantu mengajar yang mereka lihat.Keadaan ini pastinya akan meningkatkan daya tumpuan pelajar semasa belajar.Oleh itu, guru hanya perlu memberikan penerangan kepada bahan bantu mengajar tersebut.Cara menggunakan BBM ini pastinya akan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran.Selain itu, bahan bantu mengajar ini juga penting untuk meningkatkan minat pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Bahan bantu mengajar yang dilaksanakan oleh guru ini akan dapat meningkatkan minat murid untuk belajar.Hal ini demikian kerana, bahan bantu mengajar yang dilaksanakan oleh guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran memberi pelajar untuk menyaksikan sendiri cara yang digunakan oleh guru semasa menyampaikan pengajaran.Contohnya, guru menggunakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian dengan pelajar.Melalui cara tersebut, pengajaran guru akan lebih mudah dan cekap dengan penggunaan bahan bantu mengajar.
Selain itu, kepentingan bahan bantu mengajar ini adalah dapat mewujudkan kemahiran komunikasi dua hala antara guru dngan pelajar.Bahan bantu mengajar yang dilaksanakan oleh guru semasa sesi pengajaran dan pembelajaran akan memudahkan guru dan pelajar untuk saling berinteraksi dan berkongsi pendapat antara satu sama lain.Hal ini berlaku apabila bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru tersebut akan dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mengemukakan pendapat mereka dan menjurus kepada komunikasi dua hala melalui proses pertanyaan soalan.Bahan bantu mengajar Roda Impian pastinya akan dapat mewujudkan komunikasi dua hala kerana bahan bantu mengajar ini memerlukan guru dan pelajar untuk berinteraksi dan saling bertanya soalan.Pelajar juga perlu menjawab soalan dan mengemukakan pendapat mereka.Komunikasi dua hala pastilah akan dapat diwujudkan.
Di samping itu, bahan bantu mengajar ini diperlukan kerana ianya dapat memberikan pengalaman yang sebenar dan menyeronokkan kepada pelajar semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.BBM yang digunakan dapat menyediakan pengalaman yang menarik semangat pelajar untuk belajar berbanding kaedah konvesional yang lebih memfokuskan penggunaan kaedah syarahan dan buku teks.Dengan menggunakan bahan yang menarik seperti model atau boneeka, sesi pengajaran akan memberikan keseronokan kepada pelajar.Dengan menggunakan bahan bantu mengajar, guru mempelbagaikan bahan bantu mengajar dan bukan hanya menfokuskan kepada sesuatu bahan sahaja.Contohnya, guru menggunakan bahan media elektronik dan bukan elektronik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.Melalui bahan bantu tersebut, guru dapat mengenalpasti keupayaan setiap pelajar melalui sesi soal jawab dan kemuka pendapat dan sebagainya.Ia dapat memberi pengalaman baharu kepada pelajar dan menjadikan pengajaran yang disampaikan oleh guru menjadi lebih menarik dan pelajar berasa seronok dengan cara yang dipersembahkan oleh guru.

Bahan bantu mengajar ini juga diperlukan untuk meningkatkan penglibatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Dalam sesebuah kelas, terdapat banyak karenah dan sikap murid yang berbeza dan pelbagai ragam.Ada murid yang aktif dan suka bertanya soalan dan ada juga yang pasif dan pendiam.Sebagai seorang guru dan bakal guru, perbezaan antara setiap pelajar ini haruslah dititik beratkan oleh guru suapaya setiap daripada mereka dapat merasai keseronokan belajar.Oleh itu, bahan bantu mengajar adalah sangat diperlukan dan menjadi satu wadah untuk melibatkan semua pelajar tidak kira mereka aktif atau pasif di mana semua pelajar akan dilibatkan bersama-sama dalam aktiviti BBM.Contohnya, aktiviti Roda Impian akan melibatkan semua pelajar untuk bermainnya tidak kira mereka aktif ataupun pasif.Jadi, secara ringkasnya bahan bantu mengajar ini dapat membantu guru untuk mengatasi perbezaan pelajar sekaligus dapat memberikan proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan kepada pelajar.


7.0       PENUTUP

Secara kesimpulannya, bahan bantu mengajar terbukti mempunyai banyak kepentingannya dalam menyajikan proses pendidikan yang baik kepada pelajar.Bahan bantu mengajar(BBM) bukanlah sesuatu yang susah untuk dilaksanakan.Ianya hanya memerlukan pemahaman daripada guru mengenai proses pengajaran yang pembelajaran yang menarik dan menyeronokkan untuk ditunjukkan kepada pelajar.Pelajar juga mestilah menginginkan proses pembelajaran yang santai dan seronok sekali sekala daripada proses pembelajaran formal yang banyak melibatkan teks dalam pembelajaran seharian.Bahan bantu mengajar ini pastinya akan memberikan pengalaman belajar yang lain daripada yang lain kepada pelajar.Setiap guru haruslah menyediakan proses pengajaran yang pembelajaran yang terbaik untuk pelajar-pelajarnya supaya pelajar dapat menyerap segala ilmu yang diajar.Sesungguhnya pelajar itu merupakan belia yang menjadi harapan negara untuk meningkatkan sistem pendidikan negara suatu masa nanti.










No comments:

Post a Comment

SpongeBob SquarePants Squidward Tentacles